Kim Pan-gon: Hukum Cara Lain, Usah Halang Peminat Ke Stadium
MakanBola
Selangor FC

Kim Pan-gon menyifatkan hukuman beraksi tanpa kehadiran penonton sebagai sesuatu yang sangat mengecewakan selepas Selangor menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi timbal balik kedua pusingan 16 Piala FA 2026-2027 pada Rabu.

Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor mara ke suku akhir dengan agregat 4-3, namun aksi di Stadium MBPJ berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan hukuman yang dikenakan ke atas kelab Gergasi Merah itu.

Selangor sebelum ini dikenakan denda RM100,000 selain diarahkan beraksi tanpa penonton dalam dua perlawanan susulan kekecohan yang berlaku ketika aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan pada musim lalu.

Situasi tersebut jelas memberi kesan kepada Kim Pan-gon yang melihat kehadiran penyokong sebagai elemen penting dalam bola sepak dan berharap hukuman seumpama itu tidak lagi berlaku.

“Sudah tentu ia memberi kesan yang besar. Sekali lagi, bola sepak adalah untuk penonton. Mungkin ada cara lain yang boleh dilakukan, tetapi menghalang penonton daripada hadir ke stadium adalah satu keputusan yang sangat mengecewakan bagi saya. Kita bermain untuk penonton,” katanya.

Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, perlawanan bola sepak akan kehilangan nilainya apabila dimainkan tanpa kehadiran penyokong di stadium.

“Tanpa penonton, bola sepak ini tiada apa apa, kosong. Tiada orang di sini, kosong. Jadi kita bermain untuk menang, untuk apa? Kita bermain untuk siapa? Kita bermain untuk orang ramai,” jelasnya Kim Pan-gon selepas tamat aksi.

Kim Pan-gon turut berharap aksi tanpa penonton yang diharungi Selangor itu menjadi pengalaman terakhir buat pasukannya sambil menegaskan hukuman terhadap kesalahan boleh dilakukan menerusi kaedah lain.

“Jadi bagi saya, sangat mengecewakan. Sangat, sangat kecewa apabila bermain tanpa penonton. Saya harap ini adalah kali terakhir kita bermain tanpa penonton,” katanya.

“Sudah tentu, jika ada kesalahan, cari cara lain untuk menghukum kami, tetapi jangan ambil penonton kami. Bagi saya, itu pandangan saya,” tambahnya.

Dalam aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Eduardo Sosa sebelum Sabah menyamakan kedudukan melalui Park Jungbin pada minit ke-49.

Chrigor Moraes kemudian muncul wira Gergasi Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-56 untuk memastikan Selangor menewaskan Sabah 2-1 dan melangkah ke suku akhir Piala FA.