Selangor mengesahkan tiket ke suku akhir Piala FA selepas mengatasi cabaran sengit Sabah dalam perlawanan pusingan 16 pada Rabu.
Kemenangan 2-1 membawa Selangor mara ke pusingan suku akhir Piala FA 2026-2027 selepas membenam cabaran Sabah dengan keputusan agregat 4-3 dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di Stadium MBPJ.
Gandingan Chrigor Moraes, Tejan Kay dan Faisal Halim menjadi taruhan Kim Pan-gon untuk mengemudi serangan Selangor manakala kesebelasan utama Sabah diketuai oleh tonggak berpengalaman, Dominic Tan bersama Enrique Lopez.
Gol pembukaan berjaya diraih pasukan tuan rumah apabila percubaan dari luar kotak penalti oleh Eduardo Sosa gagal diselamatkan oleh penjaga gol Sabah, Juan Flere bagi membantu Selangor memimpin aksi di babak yang pertama.
Babak kedua bermula dengan Sabah kembali menyamakan kedudukan 1-1 selepas Park Jungbin memanfaatkan kesilapan oleh Harith Haiqal sebelum melepaskan rembatan deras yang menerjah ke gawang Selangor pada minit ke-49.
Keceriaan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor kembali di hadapan selang 7 minit kemudian, menerusi tendangan susulan Chrigor Moraes selepas pemain dari Brazil itu gagal menyudahkan sepakan penalti sebelum itu.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Selangor, sekali gus membawa skuad Gergasi Merah mara dengan agregat 4-3 dan dijadualkan bertemu Star City di pusingan suku akhir Piala FA 2026-2027 nanti.