Piala FA: Selangor & Sabah Sekadar Seri
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor FC kecewa apabila diikat Sabah FC 2-2 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA 2026-27.

Sabah memburu kemenangan besar bagi membawa bekalan selesa ke Petaling Jaya. Selangor pula mahu memastikan meraih keputusan positif di halaman lawan.

Fayadh Zulkifli terus menjadi sandaran gol pengendali Sabah, Juan Torres Garrido. Chrigor Moraes mengetuai cabaran Merah Kuning.

Separuh masa pertama menyaksikan Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan kencang pemain import dari New Zealand, Dane Ingham pada minit ke-33.

Selepas itu, Selangor berjaya meraih gol penyamaan menerusi Kay Tejan pada minit ke-35 turut menerusi tandukan cantik dalam kawasan kotak penalti pasukan Sabah.

Selangor dan Sabah tampak berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Merah Kuning berusaha menembusi gawang Sabah sekali lagi bagi menceriakan penyokong setia The Red Giants yang hadir ke Likas.

Chrigor Moraes berjaya menjaringkan gol kedua Merah Kuning selepas melepaskan satu rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-50.

Bekas pemain Kedah, Halim Shaari berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan Sabah pada minit ke-58 sekali gus menyamakan kedudukan kembali.

Seterusnya, kedua-dua pasukan sering berbalas serangan menerusi ayam tambatan utama masing-masing namun tiada jaringan tambahan ditemui.

Aksi di Likas tamat dengan keputusan terikat 2-2 bagi kedua-dua pasukan. Justeru itu, aksi timbal balik pada 9 September di laman keramat Selangor, Stadium MBPJ dilihat penentu siapa bakal mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini.