Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah pun kembali memulakan tugas apabila dikhabarkan terbang ke Thailand bagi meninjau perkembangan kapten pasukan, Safawi Rasid.
Pemain berusia 25 tahun itu dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC daripada JDT dengan misi memperoleh lebih banyak minit permainan.
Anak jati kelahiran Terengganu itu juga berjaya menampilkan aksi terbaiknya dan terus mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Berdasarkan beberapa laporan yang kami terima dari bumi Thailand, Kim Pan-gon sememangnya berada di Stadium Mitr Phol semalam dan menyaksikan aksi Safawi.
Namun begitu, nasib tidak memihak kepada Ratchaburi apabila mereka tewas menerusi gol penalti saat akhir sekaligus memberikan 3 mata berharga kepada lawan.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga sudah tentu mahu memantau kesemua pemain yang berkelayakan apabila berdepan tugas berat tahun ini.
Malaysia bakal menghadapi beberapa aksi persahabatan di bawah kalendar FIFA dengan 8 negara sudah pun dalam radar FAM sehingga hujung musim.
Safawi Rasid pula sudah tentu mahu mengisi slot dalam skuad kebangsaan berbekalkan minit permainan yang diperoleh di Thailand musim ini.