Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui kecewa dengan keadaan padang Stadium Tuanku Syed Putra
Perkara itu dizahirkan beliau apabila diminta mengulas perlawanan suku akhir pertama Piala FA antara pasukan itu dan Star City FC di stadium berkenaan.
Pan-gon percaya keadaan padang Stadium Tuanku Syed Putra yang kurang memuaskan bukan saja membantu tuan rumah menjaringkan gol awal menerusi Moses Atede.
Malah, hal ini mengakibatkan beberapa pemain Merah Kuning mengalami kecederaan disebabkan permukaan padang yang tidak rata.
“Sudah tentu ia mengecewakan apabila dibolosi gol awal (oleh pihak lawan). Kita boleh lihat keadaan padang yang tidak cukup bagus, sesetengah pemain kita mengalami kecederaan disebabkan permukaan padang yang tidak rata.
“Seorang pemain terpaksa dikeluarkan dan pada satu ketika, kita tidak cukup pemain untuk beraksi. Kita tidak mengendalikan situasi itu dengan baik dan terlepas penguasaan bola merupakan sesuatu yang mengecewakan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Meskipun begitu, Pan-gon memuji semangat juang anak buahnya untuk memburu gol penyamaan dan seterusnya mendominasi Star City untuk baki perlawanan.
“Tetapi kita berjaya bangkit semula dengan pantas, pada saya itu merupakan sesuatu yang positif dan saya bangga dengan mereka. Selepas itu, kita cuba mencipta peluang menjaringkan gol dan pada akhirnya, kita mendominasi dan menguasai perlawanan.
“Kami mahu jadikan ini sebagai satu tabiat iaitu tabiat kemenangan, tidak pernah putus asa dan kembali bangkit dengan pantas dalam perlawanan. Itu antara ciri yang kita mahu bangunkan dalam pasukan,” tambahnya.
Selangor memiliki bekalan tiga gol selepas membelasah Star City 4-1. Hatrik Chrigor Moraes dan gol Vitor Pernambuco memberi kelebihan kepada Merah Kuning untuk aksi timbal balik pada 11 Oktober ini.