Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah mengesan perubahan mendadak terhadap susuk tubuh pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid sejak tiba di Thailand.
Pemain berusia 26 tahun itu tiba di sana bagi membawa cabaran Ratchaburi untuk terus mencabar kejuaraan Liga 1 Thailand.
Baru-baru ini, pengendali kelahiran Korea Selatan itu terbang ke sana bagi melihat sendiri aksi beberapa pemain Malaysia termasuklah Safawi dan juga Dion Cools.
Dalam satu temubual baru-baru ini, Pan-gon memberitahu bahawa beliau melihat terdapat perubahan pada fizikal anak jati kelahiran Terengganu itu sejak berada di Thailand.
“Saya gembira dapat berjumpa Safawi dan beliau sudah lama tidak beraksi penuh 90 minit. Saya gembira melihat beliau dapat mengurangkan berat badannya dan ia petanda yang amat baik buatnya.”
“Saya merasakan suasana bola sepak di sana banyak membantu meningkatkan permainan dia, dibantu dengan fasiliti terbaik yang ada di sana, sama seperti di JDT.”
Jurulatih berusia 53 tahun itu bagaimanapun cakna dengan kesukaran Safawi untuk mendapatkan makanan halal di sana.
“Safawi mula menunjukkan kepada saya kegembiraannya setelah berada di sana, tetapi mungkin berdepan sedikit masalah dari segi mendapatkan makanan halal. “
“Sekiranya ada sesiapa yang boleh membantunya di sana nanti, yang lainnya nampak jelas dia gembira, dan harap prestasinya dikekalkan dalam latihan (skuad Harimau Malaya) nanti,” katanya.
Safawi telah beraksi cemerlang semalam apabila mencatat satu bantuan gol ketika memacu pasukannya ke peringkat separuh akhir Thai League Cup.