Kim Pan-gon Kurang Puas Tengok Aksi Harimau Malaya Menentang Brunei
Dunia
FAM Official
Advertisements

Walaupun menang besar dengan keputusan 4-0 menentang Brunei, namun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui kurang berpuas hati dengan aksi anak buahnya.

Pan-gon berkata jumlah jaringan bukanlah menjadi satu ukuran namun corak permainan semalam diakui bukanlah taraf sebenar Harimau Malaya.

“Permainan kami sepatutnya lebih baik, saya tidak mengira berapa banyak gol yang kami jaringkan namun secara keseluruhan kami boleh melakukan prestasi lebih baik.

Advertisements

“Mesti ada rentak sepanjang perlawanan, seperti yang anda lihat dalam bola sepak peringkat tinggi mereka tidak terlalu menghentikan rentak, saya tidak boleh katakan saya tidak gembira tetapi saya cuba memahami pemain kita (kehilangan rentak),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dengan taktikal yang sedikit berbeza, Pan-gon memahami para pemainnnya mungkin memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang diperkenalkan beliau ketika menentang pasukan Brunei yang berada di ranking ke-191 dunia.

Selain itu, beliau menggesa para penyokong dan pihak media terus memberikan sokongan tanpa henti dan elakkan menyerang pemain-pemain negara jika ada di antara mereka beraksi kurang baik ataupun melakukan kesilapan dalam perlawanan.

Advertisements

“Anda mungkin marah atau kecewa namun kami cuba sedaya upaya untuk membanggakan anda dengan memberikan prestasi yang lebih baik dan bukannya bola sepak negatif. Jika mereka (pasukan) menangis, kami menangis, kami mesti menyokong penuh pemain,” katanya lagi seperti dipetik Bernama.

Harimau Malaya akan meneruskan aksi persahabatan menentang Hong Kong 1 Jun ini sebelum berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram