Susulan kejayaan Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF 2022 walaupun dibarisi pemain-pemain yang kurang berpengalaman, ia memberi lebih banyak pilihan kepada Kim Pan-gon menjelang Piala Asia 2023. Dan ini merupakan amaran kepada pemain-pemain lain bahawa perebutan mendapatkan slot kesebelasan utama Harimau Malaya kini sengit.
Hal ini ditegaskan oleh Pan-gon dengan beberapa pemain baru bakal dipanggil untuk perlawanan-perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini. Ia sebagai persediaan Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Asia 2023.
“Kini kami mempunyai ‘pool’ pemain yang lebih besar untuk wujudkan saingan. Mereka juga tidak akan diberikan jaminan untuk dipilih ke skuad kebangsaan sebaliknya mereka perlu bersaing antara satu sama lain.
“Ini sangat bagus untuk semua pemain sehingga kami membuat keputusan siapa yang akan dipilih dalam skuad ke Piala Asia,” katanya.
Dengan saingan Liga Super bakal bermula hari ini menerusi Perlawanan Sumbangsih, Pan-gon berharap lebih ramai pemain berkualiti dikenalpasti untuk memperkuat Harimau Malaya.
“Saya tidak sabar untuk musim baharu Liga Super bermula. Saya harapkan satu musim yang berkualiti dan kompetitif serta mempamerkan permainan pantas dan pemain skuad kebangsaan akan mendapat lebih minit permainan.
“Kami akan meninjau setiap perlawanan sama ada secara langsung atau tidak dan apa yang penting adalah liga berlangsung dengan kompetitif supaya ada pemain-pemain baharu yang dapat mencabar diri untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
“Kami mahu fokus untuk mencari lebih banyak bakat baharu berbanding 96 pemain yang dikenal pasti pada tahun lalu dan pastinya kami mahu lebih ramai pemain dipanggil untuk skuad kebangsaan,” tambahnya.