Aksi akhir Piala Malaysia melibatkan pasukan JDT dan Terengganu malam ini berjaya menarik perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Kim Pan-gon dikesan turut berada di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama beberapa staf kejurulatihan seperti E. Elavarasan dan Pau Marti.
Kehadiran Kim Pan-gon pastinya untuk memantau dan menilai keupayaan para pemain tempatan bagi mempersiapkan pasukan kebangsaan untuk kejohanan Piala Asia kelak.
Ini juga pastinya memberi peluang buat para pemain menonjolkan kehebatan masing-masing dalam mencuri hati ketua jurulatih Malaysia.
Berbaki sebulan sahaja lagi sebelum bermulanya Piala Asia Qatar, Kim Pan-gon kini berada dalam fasa terakhir memantau para pemain tempatan Malaysia.
Perlawanan akhir ini menyaksikan pertembungan antara juara bertahan, JDT dan juga gergasi dari Pantai Timur iaitu Terengganu.
Berdasarkan 5 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, JDT berjaya memenangi kesemua perlawanan ke atas Terengganu.
Terengganu pula dalam misi menebus kembali kekecewaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia setelah terlepas kejuaraan tersebut kepada Perak pada tahun 2018.