Kim Pan-gon Risau Dengan Peningkatan Mendadak Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Prestasi cemerlang Harimau Malaya kebelakangan ini sudah pastinya menggembirakan penyokong negara. Tetapi bagi pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, peningkatan mendadak ini merisaukan beliau kerana ini secara tidak langsung meningkatkan jangkaan penyokong terhadap mereka.

Ini kerana bila jangkaan penyokong semakin bertambah, ia bakal menambah tekanan kepada Harimau Malaya untuk beraksi dengan baik terutama di gelanggang sendiri.

Dan ini sudah pasti menyukarkan pasukan untuk beraksi dengan baik terutama dalam perlawanan-perlawanan penting di peringkat antarabangsa.

Justeru, Pan-gon berharap para penyokong sedar dengan situasi Harimau Malaya dan tidak meletakkan jangkaan terlampau tinggi terhadap mereka. Tindakan tersebut dilihat bakal membantu pasukan untuk jangka masa panjang.

“Itulah sesuatu yang saya risau. Perkara ini yang selalu saya bincangkan dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Saya fikir kita naik terlalu mendadak, dari segi ranking juga naik mendadak.

“Saya kata, ‘Ini bukan isyarat yang baik.’ Jadi, penyokong meletakkan jangkaan terlampau tinggi. Satu hari nanti, ia boleh menjejaskan kita.

“Jadi, saya harap semua orang sedar bahawa kita ada sumber terhad. Kita mesti berseronok antara satu sama lain bagi menyatukan dan menggalakkan sesama kita.

“Tidak kira apa yang berlaku, bila kita menang, kita tolong antara satu sama lain. Bila kita kalah, kita beri galakan antara satu sama lain.

“Saya mahu lihat suasana di Malaysia di mana kita mengamalkan falsafah di mana kita bersatu dan menyokong sebagai satu keluarga. Saya mahu melihatnya.

“Jadi, saya amat risau tentang ini. Jadi, kita perlu memperlahankan sedikit rentak. Malam ini ya, kita berseronok tetapi keesokan harinya, kita takkan bercakap lagi tentang 10-0,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan Malaysia-Papua New Guinea semalam.