Kim Pan-gon Sanggup Ambil Risiko Demi Gembirakan Penyokong Di Bukit Jalil

Kim Pan gon Malaysia FA Malaysia 1 Kim Pan-gon Sanggup Ambil Risiko Demi Gembirakan Penyokong Di Bukit Jalil
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
12:28am 14/10/2023

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengakui bahawa ramalan awalnya mengenai aksi pasikan negara berdepan India benar-benar menjadi.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu memuji usaha gigih yang ditonjolkan oleh anak buahnya untuk membenam pasukan ke-102 dunia itu dengan keputusan 4-2.

Sungguhpun berdepan lawan yang hebat, skuad negara berjaya memberikan yang terbaik di samping sorakan 50,000 ‘ekor’ Harimau Malaya menjadi pemisah.

“Saya gembira kalahkan lawan 100 dunia di laman sendiri, padang baru dan penyokong yang ramai. Kami beri kegembiraan kepada mereka.”

“Kita sudah main 23 perlawanan, lawan 5 pasukan kuat, satu kalah dan 4 seri, kali ini akhirnya kita menang.”

Pan-gon bagaimanapun sanggup mengambil risiko pada perlawanan ini untuk melihat Malaysia menjaringkan lebih banyak gol.

“Apabila pemain pertahanan kita membantu serangan, sudah pasti ada ruang yang mahu diambil. Kita boleh bermain secara bertahan tetapi pasukan ini berani mengambil risiko.”

“Jika awak tanya saya, kita perlu memanfaatkan kekuatan yang kita miliki terutamanya di bahagian serangan dengan kepantasan pemain yang kita miliki,” jelasnya kepada MakanBola pada sesi sidang media.

Malaysia juga mampu meledak 4 gol hasil ledakan Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong mengesahkan kemenangan bermakna pasukan.

Kemenangan ini membawa Malaysia ke final dan bakal bertemu Tajikistan pada 17 Oktober 2023 selain membawa pulang 6.04 mata FIFA daripada aksi ini.