Bukan sekali soal fasiliti sukan yang baik amat diperlukan bagi melonjakkan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi. Dan selepas pulang dari lawatannya ke Thailand baru-baru ini, jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu hal ini menjadi keutamaan.
Dalam lawatannya ke Thailand, bekas jurulatih Hong Kong itu berpeluang meninjau kemudahan kelab-kelab di sana termasuk Ratchaburi dan Buriram United. Dengan kemudahan yang terbaik dimiliki mereka, tidak hairanlah mengapa Thailand muncul sebagai kuasa bola sepak ASEAN yang digeruni.
“Minggu lalu saya pergi ke Thailand dan saya rasa kita patut ada infrastruktur yang lebih baik daripada mereka.
“Di luar negara, mereka amat pentingkan mengenai perkara ini untuk mewujudkan suasana yang baik kepada pemain sejak mereka kecil,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM semalam.
Malah, beliau juga bersetuju dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim bahawa fasiliti yang baik menjadi pemangkin kecemerlangan bola sepak negara.
Tanpa fasiliti sukan yang baik, agak sukar untuk melihat skuad negara menyaingi negara-negara lain. Selain itu, ia juga menjejaskan usaha membentuk pemain-pemain lebih berkualiti untuk mewakili Harimau Malaya.
“Kita perlu memperuntukkan lebih banyak masa dan tenaga untuk mewujudkan persekitaran yang baik buat para pemain. Dari situlah, pemain-pemain ini akan menjadi lebih kuat dan dapat bermain di luar negara,” tambahnya.