Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu menekankan teras DNA Harimau Malaya dalam pemilihan pemain ke skuad kebangsaan dan mereka yang dipanggil merupakan pemain yang telah menepati ciri-ciri tersebut.
“Kami telah menilai dan menguji para pemain setahun lebih, mereka sudah tahu tentang filosofi dan DNA pasukan. Jadi terlalu banyak perubahan mampu beri risiko. Ini bukan medan percubaan tapi medan sebenar untuk kami beraksi dengan cemerlang.” ujar Kim Pan-gon.
“Namun jika pemain itu benar-benar bagus, kami pasti akan merekrutnya ke dalam pasukan kebangsaan.” tambah beliau lagi.
Kim Pan-gon juga mengakui lebih cenderung untuk memilih pemain yang sesuai dan faham dengan taktikalnya atas faktor keserasian taktikal.
Malah para pemain yang kerap dipanggil beliau juga sudah mulai serasi bermain antara satu sama lain dan Kim Pan-gon tidak mahu mengambil risiko dalam perkara tersebut lebih-lebih lagi pasukan Malaysia bakal bermain di Piala Asia pada awal Januari 2024 kelak.
Skuad kebangsaan Malaysia bakal menentang pasukan Syria dan China dalam siri perlawanan persahabatan pada bulan September ini.