Menjelang aksi persahabatan Malaysia-Papua New Guinea malam ini, ramai mengharapkan Harimau Malaya meneruskan kecemerlangan seperti sebelumnya. Tetapi hakikat bahawa Harimau Malaya pernah tumbang kepada Kapuls merupakan satu perkara yang mengejutkan jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Untuk rekod, Malaysia yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee tewas 2-0 kepada Papua New Guinea. Dua gol Kapuls disumbangkan oleh Tommy Semmy dengan penyerang Altona Magic itu menjadi sebahagian daripada skuad kali ini.
Biarpun terkejut dengan fakta berkenaan, Pan-gon tidak ambil pusing dengan rekod lampau. Sebaliknya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya mempamerkan prestasi cemerlang di hadapan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
“Saya tak tahu pasal itu. Bagus untuk mengetahuinya. Kita melihat mereka bermain menentang Singapura dan mereka bermain lebih baik daripada apa yang disangka.
“Kita sangka Kepulauan Solomon ialah lawan tahap tinggi tetapi tahap Papua New Guinea lebih hampir dengan Kepulauan Solomon.
“Jadi, saya fikir saya tak ambil pusing tentang rekod lampau. Kita cuba mencari kesinambungan, kemenangan di gelanggang sendiri.
“Kita cuba mencipta tabiat mencari kemenangan dan menjadikan diri kita kebal di gelanggang sendiri. Itulah sasaran kita untuk perlawanan malam esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam.