Kisah Azraai Khor Bentuk Dua Lagenda Kedah
Blog
Facebook: Azraai Khor
Advertisements

Bekas jurulatih pasukan Kedah, Azraai Khor Abdullah telah memuat naik satu hantaran di akaun rasmi Facebook miliknya hari ini. Azraai melahirkan rasa teruja dan sebak ketika melihat aksi dua orang bekas anak buah bimbingannya yang kembali bertemu di atas padang.

Pertembungan dua lagenda Kedah, Badrool Bakhtiar dan Khyril Muhymeen dalam aksi Liga Super semalam mendapat respon positif penyokong bola sepak tempatan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ itu berkesudahan PJ City tewas kepada Kedah FC 1-4.

Selepas tamat perlawanan, Badrool dan Khyril masing-masing bertukar jersi dan bergambar sebagai kenang-kenangan. Momen indah itu telah mendapat perhatian Azraai Khor Abdullah yang barangkali rindu dalam membimbing kedua-dua pemain itu.

Advertisements

Baca: Paralimpik 2020: Jamery Siga Duduki Tempat Keenam

“Semalam tiba-tiba habuk masuk mata. Mengenang nasib anak-anak buah. Gambar yang bawa seribu satu mesej. Walaupun dipisahkan, jiwa mereka berdua tetap sama. Sahabat dunia akhirat,” kata Azraai.

Dua orang sahabat ini memulakan karier awal mereka dalam skuad Piala Presiden Kedah pada tahun 2004-2005. Aksi cemerlang dua pemain ini bersama K. Soley telah menambat hati Azraai Khor Abdullah untuk menyerap masuk mereka dalam skuad utama Kedah.

Advertisements

Khyril dan Badrool berjaya membalas kepercayaan itu dengan menunjukkan peningkatan kualiti permainan setiap kali diberikan peluang bermain. Azraai Khor Abdullah inilah individu yang berjaya membentuk dan mencorakkan mereka berdua menjadi pemain terbaik hingga kini.

Turut sama, ramai dalam kalangan peminat yang merindukan aksi mereka berdua dalam satu pasukan. Gelaran ‘Double Treble’ milik pasukan Kedah pada tahun 2007-2008 mengimbas kembali aksi hebat dua orang lagenda ini dalam membantu pasukan Kedah ketika itu.

Apa yang lebih menarik, gol tunggal pasukan PJ City dalam perlawanan semalam telah disumbangkan oleh Khyril Muhymeen sendiri. Ia turut mengingatkan kita tentang sosok tubuh import berbisa yang bergandingan dengan Khyril pada tahun ‘Double Treble’ tersebut iaitu Maron Alex James dan Nelson San Martin.

Advertisements

Khyril sebelum ini bersama pasukan Kedah sejak tahun 2005 hingga 2014. Sepanjang bersama Kedah, Khyril telah membuat sebanyak 106 penampilan dan berjaya meledak sebanyak 39 jaringan gol. Sementara Badrool Bakhtiar yang kekal setia bersama Kedah baru-baru ini telah berjaya menjaringkan golnya yang ke-120 untuk pasukan.

Kedah FC kini berada pada kedudukan ketiga dalam carta Liga Super setakat 17 perlawanan. Kedah FC bakal mengharungi beberapa lagi siri perlawanan dalam usaha pasukan itu menamatkan saingan dalam kedudukan terbaik di Liga Super Malaysia.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram