KL City mendedahkan perancangan yang digunakan bagi memerangkap Selangor untuk memungut tiga mata dalam aksi Liga Super 2024/2025 pada Ahad.
Aksi yang berlangsung di Cheras itu menyaksikan The City Boys mencalarkan ego Selangor dengan kemenangan tipis 1-0 hasil penyudah Jovan Matika pada minit ke-63 untuk memastikan Gergasi Merah pulang hampa.
Menurut ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac, beliau sudah menjangkakan keputusan akhir bagi perlawanan ini setelah melakukan ‘kerja rumah’ sebelum menghadapi Selangor.
”Sejujurnya, perlawanan berlangsung seperti apa yang saya jangka. Saya menganalisa mereka (Selangor) dan saya melihat semua aksi mereka (sebelum ini),” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Tambah Kuljanac lagi, pasukan kuat seperti Selangor tetap mempunyai kelemahan yang perlu dimanfaatkan dan beberapa corak taktikal yang direncana membuatkan Gergasi Merah buntu dalam aksi kali ini.
”Saya telah katakan beberapa hari lalu, Selangor sangat bagus dari segi individu akan tetapi mereka memiliki kelemahan dan kami mengambil kesempatan (di atas kelemahan) itu pada malam ini.”
”(Corak) transisi pantas, serang balas dan juga mid block telah kami lakukan sehingga mereka tidak mampu lakukan apa-apa,” ujar jurulatih kelahiran Bosnia ini.
Kemenangan ini melonjakkan kedudukan KL City ke tangga keempat liga dengan tujuh mata sementara Selangor pula masih kekal di tempat kedua dengan sembilan mata meski mengalami kekalahan buat kali kedua.
KL City bakal menerima kunjungan Sri Pahang pada 27 Julai dalam saingan liga manakala Selangor akan memberi fokus bagi aksi separh akhir Piala FA bertemu Terengganu pada 19 Julai ini di Gong Badak.