Jurulatih KL City FC, Nenad Bacina sudah ada ramuan tersendiri bagi memastikan pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.
KL City sebelum ini meraih kelebihan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti Romel Morales.. Kelebihan ini diharap dapat dilebarkan lagi bila kedua-dua pasukan bersemuka untuk aksi kedua suku akhir di Kuantan pada 24 September ini.
Ini kerana pada ketika itu, The City Boys kembali diperkuatkan dengan bek tengah Giancarlo Gallifuoco dan pemain tengah Sebastian Avanzini. Bagaimanapun, mereka kehilangan Kenny Pallraj selepas mengutip dua kad kuning dalam aksi suku akhir pertama semalam.
Biarpun mengakui perkara ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan beliau, Bacina percaya KL City mampu menyempurnakan tugas di Kuantan nanti.
“Sudah tentu, semua perlawanan bermula dengan 0-0. Jadi kita akan pergi ke sana (Kuantan) dengan keputusan positif.
“GG (Giancarlo Gallifuoco) dan Sebastian (Avanzini) akan kembali tapi kita kehilangan Kenny (Pallraj). Jadi kita akan fikir bagaimana kita akan bersedia untuk perlawanan itu,” katanya dalam temubual selepas perlawanan semalam.
Sekiranya berjaya mengatasi Sri Pahang dalam aksi suku akhir kedua, The City Boys akan menanti pemenang perlawanan Selangor FC-Terengganu FC untuk menentukan lawan mereka di separuh akhir.