Lebih kurang seminggu sahaja lagi Liga Super akan membuka tirai, namun kem PJ City dilanda desas-desus mengenai pergolakan yang berlaku dalam kelab tersebut.
Berita itu sekaligus telah membuatkan ramai yang tertanya-tanya mengenai status pengendali PJ City, K.Devan bersama pasukannya itu.
Para pemain PJ City dikatakan telah berpecah dan situasi di dalam pasukan ketika ini agak tegang. Terdapat kelompok pemain yang tidak berpuas hati dengan K. Devan seperti yang terdapat dalam laporan Harian Metro.
Para pemain dilaporkan tidak berpuas hati dengan corak taktikal yang digunakan oleh Devan pada sepanjang perlawanan pra-musim kali ini.
Selain itu, ada pemain yang dikatakan terasa hati dengan Devan kerana pilih kasih dan tidak adil kepada para pemain utama yang baru beliau tandatangani.
Menurut laporan Harian Metro lagi, konflik ini telah sampai ke pengurusan tertinggi kelab PJ City.
Namun begitu, pengurusan pasukan, K Rajendran menepis dakwaan ketidakharmonian yang berlaku dalam PJ City dan mengatakan pasukannya sudah bersiap sedia untuk musim baharu.
Musim 2020 ini menjadi cabaran buat K.Devan bagi membuktikan kemampuan sebenarnya mengendali PJ City yang akan berhadapan dengan 5 perlawanan awal yang getir.