Kontroversi penangguhan hukuman kad merah penyerang Amerika Syarikat (USA), Folarin Balogun terus melanda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Men in Blazers melaporkan hukuman tersebut didakwa telah diputuskan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FIFA dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed al-Kamali.
Mohammed didakwa menangguhkan hukuman penggantungan Balogun selama setahun tanpa merujuk kepada 17 lagi Ahli Jawatankuasa Disiplin FIFA terlebih dahulu.
Bekas pemain remaja Arsenal itu menerima kad merah ketika aksi pusingan 32 Piala Dunia 2026 menentang Bosnia-Herzegovina.
Balogun kemudiannya dibenarkan beraksi selepas hukuman penggantungan satu perlawanannya ditangguhkan oleh FIFA. Hal ini mencetuskan kontroversi kerana penangguhan tersebut bukan saja tidak pernah berlaku dalam sejarah Piala Dunia.
Malah, kontroversi tersebut menjadi bualan kerana Presiden USA, Donald Trump mengaku telah melobi Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk menangguhkan hukuman yang dihadapi Balogun.
Sekiranya dakwaan ini terbukti benar, ini bakal menjejaskan kredibiliti dan imej Mohammed. Ini kerana beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FIFA pertama yang dilantik dari benua Asia lebih setahun yang lalu.
Kontroversi terbaru ini dijangka menambah kekusutan yang membelenggu FIFA. Sebelum ini, wartawan penyiasat Perancis, Romain Molina melaporkan skandal terbesar yang membelenggu FIFA dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).
Skandal tersebut bukan saja membabitkan isu dana yang tidak diterima AFA yang mencecah lebih RM1.3 bilion. Malah, Molina turut mendakwa ini membabitkan pelbagai salah laku termasuk menutup kes membabitkan badan induk itu.