Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya bergelar juara Korea Masters setelah menumpaskan wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho.
Setelah menyingkirkan cabaran beregu Chinese Taipei pada Sabtu, Aaron-Wooi Yik berpeluang untuk merangkul gelaran juara kedua apabila berdepan Jin Yong-Kim Won Ho di final.
Berdasarkan rekod pertemuan, ini merupakan pertembungan pertama melibatkan Aaron-Wooi Yik dan Jin Yong-Won Ho memandangkan pemain Korea ini baru sahaja digandingkan.
Di awal aksi, Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit oleh lawan dari Korea ini hingga beberapa kali kedudukan terikat seri menuju interval yang dipegang oleh Jin Yong-Won Ho.
Meskipun ketinggalan 12-15, pasangan negara tidak mudah untuk mengheret aksi ke deuce sebelum Aaron dan Wooi Yik akur melepaskan set pertama kepada beregu tuan rumah itu.
Bersambung di set kedua, Jin Yong-Won Ho mendahului jauh 7-3 meninggalkan wakil Malaysia sebelum dikejar 8-8 namun kehilangan fokus menyebabkan lawan kembali di hadapan.
Aaron-Wooi Yik berjaya bangkit memintas kedudukan 16-14 pada pertengahan permainan dan segera menutup cerita di set kedua dengan kemenangan sekaligus mengheret aksi ke set ketiga.
Di set penentuan, aksi luar biasa ditampilkan Aaron-Wooi Yik untuk memimpin di awal permainan sebelum menoktahkan kemenangan dan mengecewakan Jin Yong-Kim Won Ho di hadapan penyokong sendiri
Aksi di gelanggang satu berakhir dengan keputusan 21-23, 21-19, 21-14 memihak Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Ini merupakan kejuaraan BWF kedua buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik setelah muncul juara di Denmark Open edisi 2023 sekaligus membawa pulang wang kemenangan USD15,960 bersamaan RM72,701.