Park Hang-seo memohon maaf kepada peminat bola sepak Korea Selatan selepas pasukan gergasi Asia itu gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Hang-seo membuat permohonan maaf itu dalam sidang media yang diadakan di Guadalajara, Mexico. Sidang media itu dibuat sebelum kontinjen Pahlawan Taeguk berangkat pulang ke Korea Selatan.
Hang-seo berbuat demikian atas statusnya sebagai ketua delegasi Korea Selatan ke Piala Dunia. Peranan itu dipikul selari dengan jawatan beliau sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).
“Sebagai ketua delegasi (Korea Selatan) ke Piala Dunia, saya memohon maaf yang mendalam kepada KFA kerana gagal memenuhi jangkaan orang ramai pada Piala Dunia 2026.
“Para pemain, kakitangan kejurulatihan dan pasukan sokongan telah melakukan yang terbaik untuk membuat persiapan untuk kejohanan itu, tetapi kami gagal memberikan keputusan yang akan membalas sokongan orang ramai. KFA mesti membuat refleksi secara mendalam, membuat semakan semula dan ingin membantu Korea lebih maju ke hadapan.
“Terima kasih kepada peminat yang menghantar sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kami semasa kejohanan dan satu lagi permohonan maaf secara ikhlas (kepada penyokong). Terima kasih anda semua telah bekerja keras,” katanya seperti dilaporkan The Chosun Daily.
Hang-seo kemudiannya berdiri dan tunduk sambil menyatakan permohonan maaf atas apa yang berlaku. Sidang media sama turut menyaksikan Hong Myung-bo meletak jawatan sebagai jurulatih Korea Selatan.
Korea Selatan terlepas peluang layak ke pusingan kalah mati selepas hanya menduduki tempat ketiga Kumpulan A.
Hasrat Pahlawan Taeguk untuk layak selaku pasukan ketiga terbaik kumpulan musnah apabila keputusan kumpulan-kumpulan lain tidak memihak kepada mereka.
Susulan itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung mengarahkan satu siasatan dibuat bagi mengenal pasti punca anak buah Myung-bo gagal layak ke pusingan seterusnya.