Lafaz Talak Jika Argentina Kalah, Ini Ulasan Bekas Mufti
MakanBola
DDZMAB/SA

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur sikap sesetengah peminat bola sepak yang bergurau dalam soal talak.

Pandangan itu dizahirkan beliau menerusi satu hantaran di semua platform rasminya. Zulkifli melihat ada sesetengah peminat yang bergurau dengan menyatakan lafaz cerai berlaku sekiranya pasukan yang disokong mereka tewas.

Jika perkara tersebut berlaku seperti yang dinyatakan sebagai syarat talak meskipun dibuat secara gurauan, maka talak tersebut sah mengikut pandangan majoriti ulama.

“Majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat bahawa talak yang digantungkan dengan sesuatu syarat akan jatuh apabila syarat tersebut benar-benar berlaku,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Antara ulama yang berpandangan talak tersebut jatuh ialah Imam Nawawi. Beliau menegaskan jika talak itu digantungkan dengan sesuatu syarat dan syarat itu berlaku, maka talak pun jatuh.

Zulkifli kemudiannya memberi contoh si polan melafazkan cerai talak tiga sekiranya Argentina tewas di pentas final. Beliau memaklumkan talak tersebut jatuh apabila Argentina tewas meskipun dibuat dengan niat bergurau.

‘Berdasarkan pandangan jumhur, Apa yang dilafazkan suami itu, ‘Kalau Argentina kalah, isteriku tertalak tiga.’ Kemudian syarat itu benar-benar berlaku, iaitu Argentina kalah, maka talak tersebut jatuh mengikut pandangan majoriti ulama,” tambahnya.

Hal ini turut selari dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w mafhumnya, “Tiga perkara yang seriusnya dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius, nikah, talak dan rujuk.”

Atas sebab itu, Zulkifli menasihatkan mana-mana pasangan suami isteri yang terkesan akibat isu berkenaan agar segera merujuk kepada Mahkamah Syariah atau pejabat agama untuk pengesahan dan penyelesaian isu.