Legenda Kedah dari Chile, Nelson San Martin mendedahkan beliau berdepan masalah kewangan dan memerlukan bantuan segera.
Hal ini dinyatakan bekas pemain tengah berusia 45 tahun itu menerusi satu hantaran panjang di Facebook.
San Martin mengakui bukan mudah untuk beliau berkongsi situasi yang dihadapinya sejak tahun 2024. Pada masa sama, beliau merasakan dirinya tidak lagi mampu menghadapi situasi ini secara bersendirian.
San Martin turut mendedahkan situasi terkininya bersama pasukan utara tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
“Saya masih di sini, di Malaysia secara rasminya di bawah kontrak dengan Kedah Darul Aman FC. Bagaimanapun, hakikat yang perit adalah selama lebih dua bulan, saya telah ditinggalkan sepenuhnya tanpa sebarang komunikasi atau sokongan,” katanya.
“Ketika saya menunggu dalam diam, hidup saya menjadi mimpi ngeri setiap hari. Saya kini menghadapi isu undang-undang yang serius di tanah air saya, Chile yang memerlukan perhatian segera tetapi saya benar-benar lumpuh di sini.
“Saya seorang bapa dan ketua keluarga tetapi saat ini, keluarga saya dan saya bergelut melalui hari-hari mendatang. Kami kekurangan keperluan asas manusia yang paling utama. Kami tidak dapat membayar sewa dan satu kepedihan kerana tidak mampu menyediakan keperluan asas keluarga adalah sesuatu yang tidak tertanggung.”
San Martin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong yang sudi membantunya dalam situasi yang sukar ini.
“Di sebalik kegelapan ini, saya ingin berterima kasih kepada mereka yang sangat baik kepada saya. Sokongan yang saya terima daripada kelab peminat telah membuatkan saya terus bertahan dan saya berjanji membalas jasa tersebut sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
“Saya tidak akan melupakan ihsan anda. Saya juga ingin berterima kasih kepada beberapa rakan terdekat yang sentiasa membantu dan menyokong saya. Saya mungkin warga asing, tetapi Malaysia adalah rumah saya,” tambahnya.
Nama San Martin pernah menjadi sebutan penyokong Kedah satu ketika dahulu. Beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Kedah yang meraih treble berganda pada 2007 dan 2008.