Selepas berjaya menjinakkan Bangladesh dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari, Bahrain mensasarkan untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan menentang Malaysia pada Sabtu.
Pemain tengah Bahrain, Komail Al Aswad menegaskan pasukan Bahrain telah melalui satu persiapan yang rapi sebelum menghadapi kempen kelayakan ini. Beliau juga mensasarkan untuk menjaringkan gol menentang Malaysia selepas berjaya meledak gol ketika menentang Bangladesh.
“Kami melakukan persiapan yang terbaik untuk perlawanan dan kami bersedia untuk mendapatkan tiga mata bagi berada di kedudukan teratas kumpulan.
“Sudah pasti memperoleh jaringan akan memberikan kamu motivasi dan keyakinan tinggi. Semua pemain ingin jaringkan gol dalam setiap perlawanan, kami juga akan buat yang terbaik untuk perlawanan akan datang dan membantu pasukan,” katanya semasa sesi sidang media semalam di Hotel Dorsett Grand, Subang.
Dalam pada itu, Al Aswad akui teruja melihat para penyokong Malaysia yang sangat bersemangat ketika perlawanan berlangsung dan berharap Stadium Nasional Bukit Jalil akan dipenuhi penonton untuk memberikan atmosfera luar biasa dalam perlawanan itu.
“Kami lihat pada perlawanan pertama, mereka penyokong yang hebat, mencetuskan atmosfera yang bagus di stadium. Kami mahu lihat stadium penuh pada perlawanan esok dan membentuk atmosfera yang menarik untuk perlawanan,” tambahnya lagi.