Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal menzahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t selepas membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026.
Selepas tamat perlawanan akhir antara La Roja dan juara edisi sebelumnya, Argentina, Yamal dilihat berlutut sebelum berdoa dan menzahirkan rasa syukur kepada Allah.
Setelah itu, beliau kemudiannya bangun sebelum meraikan kejayaan Sepanyol bergelar juara buat kali kedua sejak edisi 2010 di Afrika Selatan. Yamal turut bertemu dengan Lionel Messi sebelum memeluk dan memujuk legenda Argentina itu.
Ini bukan kali pertama Yamal menzahirkan rasa syukur kepada Ilahi. Sebelum ini, pemain berusia 19 tahun itu melakukan sujud syukur selepas menyumbat gol pertamanya ketika menentang Arab Saudi di peringkat kumpulan.
Video Yamal memanjatkan doa kepada Allah s.w.t kemudiannya dikongsikan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano di semua platform rasmi miliknya.
Sebaik video tersebut dimuat naik, ramai peminat bola sepak memuji tindakannya yang memuji Ilahi atas nikmat kemenangan yang dikurniakan-Nya kepada beliau dan Sepanyol.
Piala Dunia 2026 merupakan trofi kedua yang dikecapi Yamal di peringkat antarabangsa. Sebelum itu, beliau menjadi sebahagian daripada skuad La Roja yang bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024.
Sepanyol muncul juara dengan menewaskan Argentina 1-0. Bekas bintang Manchester City, Ferran Torres muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada masa tambahan.