Perlawanan persahabatan antara Jepun dan Thailand pada 1 Januari lalu bukan saja aksi pemanas badan pra-Piala Asia 2023 buat kedua-dua pasukan.
Malah, perlawanan ini menjadi saksi kehadiran penonton tertinggi untuk perlawanan antarabangsa membabitkan Samurai Biru.
Mengikut perkongsian wartawan sukan The Japan Times, Dan Orlowitz, kehadiran penonton di Stadium Nasional Jepun pada hari itu ialah seramai 61,916 orang.
Ini mengatasi rekod sebelumnya iaitu 61,855 orang yang direkodkan dalam perlawanan persahabatan Jepun dan Uruguay yang berlangsung pada Mac 2023.
Walaupun terpaksa mengharungi cuaca sejuk, penyokong Jepun gembira apabila Samurai Biru merekodkan kemenangan kesembilan dalam sembilan aksi antarabangsa.
Perlawanan Jepun-Thailand berakhir dengan kemenangan besar 5-0 buat tuan rumah. Gol-gol Samurai Biru disumbang oleh Ao Tanaka, Keito Nakamura, gol sendiri Elias Dolah, Takumu Kawamura dan Takumi Minamino.
Jepun seterusnya bakal mengharungi satu lagi aksi pemanas badan menentang Jordan pada 9 Januari ini.
Setelah itu, mereka akan membuka kempen Kumpulan D dengan menentang Vietnam pada 14 Januari di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar.