Aksi Piala Malaysia 2023 yang membabitkan pertembungan antara pasukan Penang dan KL City pada semalam dihiasi dengan jaringan berkelas dunia daripada pemain sayap KL City, Zhafri Yahya.
Perlawanan pertama bagi kempen Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menjadi kenangan manis buat The City Boys apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dengan keputusan 4-0.
Jaringan ketiga perlawanan di Stadium Bandaraya telah mencuri tumpuan ramai apabila percubaan bertenaga Zhafri Yahya pada minit ke-30 permainan menerjah jaring. Rembatan padu dilepaskan Zhafri selepas memanfaatkan hantaran sepakan penjuru yang diambil kapten pasukan KL City, Paulo Josue.
Tindakan Zhafri yang tak teragak-agak untuk merembat kencang gagal diselamatkan penjaga gawang Penang, Khatul Anuar. Jaringan pemain berusia 28 tahun ini mencuri perhatian warga maya dan ramai dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang terpesona dengan teknik beliau hasilkan.
Dua jaringan daripada import sensasi, Tchetche Kipre dan satu jaringan Zhafri Yahya serta Romel Morales memastikan finalis Piala FA 2023 itu membawa pulang kemenangan selesa ke bumi Cheras.
Pasukan Penang bakal bertandang ke Cheras berdepan KL City untuk aksi timbal balik Piala Malaysia 2023 pada 18 Ogos kelak.