Pemain naturalisasi baharu Malaysia, Lee Tuck tidak perlu menunggu lama untuk memperkenalkan dirinya kepada para penyokong Harimau Malaya apabila berjaya meledak satu gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Lee Tuck berjaya mengemudi bahagian tengah dengan dua pemain lagi iaitu Stuart Wilkins dan David Rowley. Ketiga-tiga pemain tengah ini diturunkan dalam penampilan pertama bersama skuad kebangsaan.
Gol yang dihasilkan Lee Tuck pada minit ke-38 itu adalah hasil kerjasamanya bersama bekas rakan sepasukannya di Terengganu, Faisal Halim. Selain berjaya meledak gol, Lee Tuck juga diberi tanggungjawab untuk mengambil semua sepakan sudut skuad negara dalam perlawanan itu.
Dengan gol yang dihasilkan tersebut, Lee Tuck berjaya mengikut jejak langkah pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh yang turut berjaya menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.
Sumareh berjaya meledak dalam debut bersama skuad negara pada aksi persahabatan menentang Sri Lanka pada Oktober 2018 di mana menyaksikan Malaysia menang 4-1. Kecemerlangan Sumareh diteruskan dengan satu lagi jaringan ketika menewaskan Maldives 3-0 pada November tahun yang sama.
Daripada lima pemain naturalisasi Malaysia, hanya Sumareh dan Lee Tuck sahaja yang berjaya menjaringkan gol dalam debut bersama Harimau Malaya. Impak pantas Lee Tuck diharpkan akan berterusan menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijadualkan bermula 20 Disember depan.