Ramai penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa apabila legenda Argentina, Javier Zanetti tidak dapat hadir ke Perlawanan Sumbangsih esok. Tetapi seorang lagi legenda Inter Milan dijangka hadir esok iaitu bekas penjaga gol kebangsaan Brazil, Julio Cesar.
Zanetti yang kini merupakan naib presiden Nerazzurri memohon maaf tidak dapat hadir ke perlawanan esok disebabkan perlu memenuhi komitmen peribadi. Tetapi bekas bek kanan Inter yang merekodkan lebih 600 penampilan itu berjanji akan melawat JDT tidak lama lagi.
“Helo kepada semua penyokong JDT. Maaf, saya tidak dapat menghadiri Perlawanan Sumbangsih esok. Tetapi saya akan datang tak lama lagi untuk melawat kelab anda yang hebat,” katanya dalam satu video yang dikongsikan laman media sosial Johor Southern Tigers.
Penggantinya untuk perlawanan esok juga bukan calang-calang iaitu Julio Cesar. Pernah beraksi bersama Inter Milan, QPR, Benfica, Flamengo, Chievo dan Toronto, beliau juga pernah menjulang Piala Kelab Dunia dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Nerazzurri.
Cesar kini berada di Johor bagi membincangkan peranan duta global JDT bersama pengurusan kelab. Ia sebahagian daripada strategi Harimau Selatan bagi melebarkan pengaruhnya ke peringkat global.
Malah, pengurusan Harimau Selatan juga dijangka melantik beberapa lagi duta global kelab untuk merealisasikan objektif ini.