Kapten New Zealand, Liberato Cacace percaya pasukan itu memiliki prospek yang cerah susulan kehadiran ramai pemain berusia bawah 25 tahun.
Kalendar antarabangsa kali ini menyaksikan jurulatih All Whites, Darren Bazeley memanggil 10 pemain berusia bawah 25 tahun daripada 21 pemain.
Antara nama yang tersenarai ialah Cacace, Alex Paulsen (Auckland FC), Tyler Bindon (Reading), Marko Stamenic (Olympiakos), Ben Old (Saint-Etienne) dan Ben Waine (Mansfield Town).
Percaturan jurulatih berusia 52 tahun itu membuahkan hasil kerana New Zealand bukan saja berjaya menewaskan Tahiti 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Oceania.
Malah, pasukan itu turut menewaskan Malaysia 4-0 di Stadium North Harbour, Auckland. Lebih menarik, dua gol New Zealand pada babak kedua disumbang dua pemain bawah 25 tahun iaitu Elijah Just dan Matthew Garbett.
Baki dua gol tuan rumah disumbangkan oleh penyerang Nottingham Forest, Chris Wood dan penyerang baru Auckland, Logan Rogerson.
Cacace percaya persembahan yang ditampilkan All Whites semasa menentang Harimau Malaya menunjukkan pasukan itu memiliki generasi pemain baru yang bagus.
Dan bek kiri kelab Serie A, Empoli itu percaya sekiranya persembahan ini dapat dikekalkan, ini akan mendorong mereka tampil lebih bagus di peringkat antarabangsa.
“Saya harap persembahan hari ini yang ditampilkan kepada penyokong New Zealand bahawa kita memiliki generasi (pemain) yang amat bagus pada ketika ini.
“Selagi mana kita dapat kekalkan prestasi ini, ini akan menjadikan masa hadapan yang lebih menarik buat kita,” katanya seperti yang dilaporkan portal Stuff.
Selepas ini, New Zealand akan fokus untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 seterusnya. Mereka akan menentang Vanuatu pada 15 November sebelum menentang Samoa pada 18 November.
Manakala skuad negara yang dibimbing Pau Marti Vicente pula akan berangkat ke India pada November ini. Mereka akan menentang skuad kebangsaan India pada 19 November.