Aksi tunggal Liga A1 Semi Pro pada Ahad menyaksikan Gombak dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Harini FT di Selayang.
Gombak turun selaku tuan rumah berhasrat untuk kembali mencipta kemenangan setelah tewas dalam dua aksi lalu manakala Harini mahu mengutip 3 mata untuk keluar dari zon penyingkiran.
Kedua-dua pasukan menampilkan kesebelasan utama dengan Gombak mempertaruh penyerang veteran, Firdaus Azizul di jentera serangan sementara Harini diketuai oleh pemain tengah, Praviin.
Permainan bermula dengan seimbang dengan Gombak lebih menguasai bola hasil hantaran-hantaran pendek di kawasan tengah memaksa Harini lebih banyak bertahan dan melakukan serang balas.
Pertahanan tuan rumah, Danish Haziq hampir membuka tirai jaringan buat pasukan Gombak namun tandukannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Harini, Firdaus Yusof.
Firdaus Yusof sekali lagi menjadi penyelamat Harini setelah menepis rembatan padu Vinicius dan percubaan susulan selepas itu untuk memastikan gawang pelawat terus kebal sehingga rehat.
Separuh masa pertama tamat, Gombak 0-0 Harini FT.
Bersambung babak kedua, Harini berpeluang memecah kebuntuan hasil rembatan jarak jauh oleh Ogolo Williams pada minit ke-54 akan tetapi penjaga gol Gombak tampil cemerlang.
Seminit kemudian, penyerang Gombak, Alif Safwan gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu meskipun hanya perlu menewaskan penjaga gawang Harini sahaja di pintu gol.
Jurulatih Gombak, Shahrom Kalam melakukan beberapa pertukaran dengan memasukan penyerang import, Patrick bagi menambah sengat pasukan namun Harini terus kuat mempertahan kubu mereka.
Deretan peluang sekitar enam percubaan di penghujung aksi jelas mengecewakan tuan rumah yang semakin terdesak untuk menembusi kekebalan benteng Harini yang begitu liat untuk mengalah.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba menerusi Nazrul pada minit ke-85 sebelum Isa Raman melengkapkan malam gemilang buat Gombak setelah menyempurnakan sepakan penalti tiga minit kemudian.
Perlawanan di Stadium MP Selayang berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Gombak.