Juara Liga A1 Semi-Pro musim 2023, Imigresen FC terus membuktikan mengapa mereka pasukan pilihan untuk musim 2024/25.
Selepas lapan perlawanan, Imigresen menjadi antara dua pasukan yang masih belum tewas dalam liga. Satu lagi pasukan yang masih kebal ialah Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara).
Selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga, Imigresen juga berjaya merekodkan enam kemenangan daripada lapan perlawanan. Hanya dua pasukan saja yang gagal ditewaskan iaitu KL Rovers dan BR Damansara.
Kedua-dua pasukan berjaya mencuri satu mata daripada Imigresen apabila bertemu pada 30 Jun dan 4 Ogos lalu.
Kempen Imigresen FC turut dibantu dengan ketajaman jentera serangan mereka. Penyerang import dari Nigeria, ThankGod Michael Ogwuche muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol.
Sementara Hazim Abu Zaid pula menjadi penjaring kedua terbanyak dengan tiga gol. Manakala Hafiz Kamal dan Nasriq Baharom masing-masing menyumbang dua gol.
The Mighty Tigers juga muncul antara tiga pasukan yang memiliki rekod bolos terbaik dalam liga dengan enam gol. Selain mereka, BR Damansara hanya dibolosi enam kali dengan Melaka pula sebanyak tiga kali.
Statistik ini amat membantu Imigresen untuk mengekalkan momentum dalam saingan Liga A1 Semi-Pro selepas ini. Selepas berehat pada hari perlawanan minggu kesembilan, The Mighty Tigers akan turun menentang Armed Forces FC pada 17 Ogos ini.