Armed Forces FC kempunan meraih kemenangan ketiga dalam saingan Liga A1 Semi-Pro apabila sekadar seri dengan wakil Sarawak, Machan FC di Stadium MINDEF.
Machan mahu kembali bangkit selepas tewas dua aksi sebelumnya termasuk kepada Gombak FC. Manakala Armed Forces pula memburu kemenangan ketiga liga di gelanggang sendiri.
Separuh masa pertama menyaksikan Armed Forces berusaha meraih kelebihan awal menerusi gandingan Rafizol Roslan, Akmal Md Isa dan Haziq Fikri Haszaime.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai kapten, Arif Azizan Ederis bekerja keras menyerap tekanan yang dikenakan Armed Forces.
Machan hampir meraih gol pendahuluan pada minit ke-38 menerusi Azman Chuchu. Walau bagaimanapun, penjaga gol tuan rumah, Hafizuddin Azuhar bertindak pantas mendapatkan bola sebelum dirembat oleh Azman.
Gawang Armed Forces akhirnya bocor pada minit ke-43. Selepas berjaya melepasi kawalan Hafizuddin yang keluar dari kotak penalti, Azman mudah melorongkan bola ke arah gawang kosong tuan rumah.
Gol tersebut memastikan Machan memiliki kelebihan 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Armed Forces yang dibimbing Kevin Lee Cooper terus menggandakan serangan untuk memburu gol penyamaan.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi rembatan dari luar kotak penalti Shahrul Aznei Shopri. Malangnya, percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Machan, Khairulanwar Amin.
Kem Armed Forces akhirnya ceria apabila mendapat gol penyamaan pada minit ke-71. Rafizul Roslan bijak mencipta peluang yang mudah disempurnakan penyerang gantian, Max Fareezan Anak Lidin.
Tuan rumah terus melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu Machan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing kekal di kedudukan ke-11 dan ke-12 liga.
Selepas ini, Machan bakal berdepan BR Damansara di stadium baru mereka, Stadium Azman Hashim di Sibu pada 7 September. Sementara Armed Forces pula berdepan cabaran Melaka FC pada hari sama.