Pasukan di tangga tercorot Liga A1 Semi Pro, Machan FC mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih, S. Balachandran berkuatkuasa serta merta.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh pengerusi kelab, Azizi Fauzi dalam satu kenyataan di laman Facebook Machan FC yang sedia maklum mengenai prestasi kurang memuaskan oleh pasukannya itu dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
“Pihak pengurusan tertinggi Machan FC mengambil maklum diatas keputusan yang tidak memihak kepada pasukan Machan FC dalam 4 perlawanan sebelum ini,” ujar Machan FC dalam kenyataan di Facebook.
Oleh itu, pihak kelab telah bersetuju untuk merehatkan ketua jurulatih, S. Balachandran serta mengucapkan ribuan terima kasih atas segala jasa dan tunjuk ajarnya sepanjang bersama Machan FC.
“Adalah dimaklumkan, pihak pengurusan akan merehatkan ketua jurulatih, S. Balachandran. Terima kasih kepada beliau diatas tunjuk ajar dan khidmat kepada pasukan Machan FC.”
Sebagai Presiden Kelab, beliau turut memohon maaf di atas persembahan hambar sejak aksi permulaan liga dan meminta agar para penyokong kekal teguh memberikan peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
“Selaku presiden Pasukan Machan FC, saya meminta maaf di atas keputusan 4 perlawanan sebelum ini, matlamat kita adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pemain tempatan beraksi di peringkat tertinggi,” tambahnya lagi.
“Namun ia bukan alasan untuk kita terus gagal. Beri kami dan barisan jurulatih yang sedia ada peluang untuk membaiki segala kelemahan.”
Tempat yang ditinggalkan oleh S. Balachandran akan disandang oleh Edward sambil dibantu oleh Ramos Sari dan juga Ramles Sari berkuatkuasa serta merta bagi meneruskan saingan liga.
“Jawatan ketua jurulatih Machan FC akan dipangku oleh Jurulatih Edward dan dibantu oleh Ramos Sari dan Ramles Sari.”
Machan FC kini berada di tangga tercorot liga tanpa sebarang mata selepas mengalami empat kekalahan dalam kesemua empat perlawanan termasuklah di tangan Malaysian University pada Selasa lalu.
Selepas ini, Machan FC akan menerima kunjungan KL Rovers di Stadium Negeri Kuching bagi aksi kelima Liga A1 Semi Pro pada 13 Julai hadapan.