Pencabar takhta pendahulu Liga A1 Semi Pro, Melaka FC dilihat memiliki rekod tanpa bolos yang cemerlang dalam liga setakat ini.
Selepas empat perlawanan, Melaka yang dibimbing K. Devan hanya bolos sekali sahaja semasa meraih kemenangan ke atas PIB Shah Alam. Manakala tiga lagi perlawanan menyaksikan gawang pasukan itu yang dikawal T. Shaheeswaran tidak bocor.
Selain PIB Shah Alam, anak buah Devan turut melakar kemenangan ke atas Bukit Tambun FC dan Manjung City FC. Satu-satunya pasukan yang berjaya mengekang Melaka ialah Gombak FC menerusi keputusan seri tanpa jaringan pada 8 Jun lalu.
Lebih menarik, Melaka juga menjadi sebahagian daripada lima pasukan yang belum merekodkan sebarang kekalahan dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Selain Melaka, PT Athletic FC, Imigresen FC, Bunga Raya Damansara (BR Damansara) dan pendahulu liga, KL Rovers FC turut berada dalam kelompok sama.
Pencapaian ini dilakar disebabkan kebijaksanaan Devan menggabungkan barisan pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan Melaka.
Meskipun ada yang berstatus pendatang baru dalam Liga A1 Semi Pro, mereka pantas menyesuaikan diri di bawah bimbingan bekas pengendali Negeri Sembilan FC itu. Antara pemain baru yang memperkuatkan Melaka ialah Shaheeswaran, Nizaruddin Jazi, Haziq Puad, Abdul Azim Rahim dan Royizzat Daud.
Melaka ketika ini di tangga keempat liga dengan 10 mata dan terpisah dengan KL Rovers dari segi kelebihan jaringan. Sekiranya prestasi ini dapat dikekalkan sehingga akhir musim, Melaka bukan saja berpotensi memburu slot kelayakan ke Liga Super.
Malah, anak buah Devan berpotensi memperbaiki pencapaian tempat ke-10 yang diraih dalam Liga A1 Semi Pro musim 2023.
Melaka berharap dapat merampas kembali takhta liga daripada KL Rovers apabila saingan liga kembali bersambung minggu ini. Melaka akan menentang Harini FT di Stadium Hang Jebat pada 13 Julai ini.