Liga A1: Tonggak Kelantan RW Pecah Rekod 7 Tahun
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Penyerang utama Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Emmanuel Mbarga memecahkan rekod tujuh tahun dalam aksi Liga A1 Semi-Pro antara pasukan itu dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Dua gol Mbarga dalam perlawanan itu bukan saja membantu pasukan Pantai Timur itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Kedah DA.

Malah, penyerang berusia 27 tahun itu telah mengatasi rekod Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi yang bertahan selama tujuh tahun. Perkara ini turut disahkan pengurusan Kelantan RW dalam satu kenyataan.

“Mbarga memecahkan rekod penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro selama 7 tahun apabila menjaringkan gol ke-29 sebentar tadi menerusi sepakan percuma dan gol ketiga Kelantan Red Warrior FC petang ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Nama Fakhrul Zaman menjadi sebutan apabila meledakkan 28 gol ketika bersama Kelantan United FC (kini Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 2019.

Sebelum ini, Mbarga bukan saja menjadi penjaring gol ke-50 Kelantan RW untuk Liga A1 dan Liga Malaysia (Liga M).

Malah, bekas penyerang Chainat FC itu turut menyamai rekod seorang lagi bekas tonggak Kelantan United, Gassama Alfusainey. Gassama meledakkan 27 gol ketika bersama pasukan Pantai Timur itu.

Mbarga kini menerajui carta penjaring terbanyak dengan 29 gol. Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud dan penyerang Imigresen FC II, Said Khamis terus menghambat dengan masing-masing merekodkan 23 dan 21 gol.