UM-Damansara menewaskan Kelantan RW dengan keputusan 1-0 di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur dalam aksi minggu ke-19 saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 pada Selasa.
Kelantan Red Warrior membariskan Shafiq Afifi sebagai penjaga gol manakala gandingan berbisa Faiz Nasir & Emmanuel Mbarga mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.
Sementara itu, UM-Damansara menurunkan Haziq di benteng terakhir dan Shivan Pillay menggalas lilitan kapten manakala Shafizi Iqmal menjadi ayam tambatan skuad tersebut malam ini.
Kedua-dua pasukan tampil garang dengan melancarkan beberapa percubaan ke arah kubu lawan masing-masing pada awal minit perlawanan.
UM-Damansara tampak tidak menghadapi masalah dengan beraksi di halaman sendiri apabila melepaskan lambakan rembatan berbahaya namun gagal menembusi gawang Kelantan Red Warrior.
Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Kelantan Red Warrior turut melakukan beberapa percubaan menerusi Emmanuel Mbarga & Wesley Barnaske namun gagal menembusi gawang pasukan UM-Damansara.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan
Memasuki babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan masih bertenaga untuk mencari gol pembukaan aksi.
UM-Damansara dilihat menguasai perlawanan dengan melakukan beberapa serangan yang hampir menerjah jaring Kelantan Red Warrior.
UM-Damansara membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-49 menerusi anak jati Selangor, Shafizi Iqmal sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.
Kelantan RW tidak henti berusaha mencari gol penyamaan, namun kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa kedua.
Aksi di UM Arena, Kuala Lumpur tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, UM-Damansara.
Kemenangan ini menyaksikan UM-Damansara memintas Kelantan RW untuk berada di kedudukan ketiga liga dengan 36 mata manakala Kelantan RW di posisi keempat (35 mata).