Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan menewaskan Selangor FC 3-0.
Kemenangan ke-11 Harimau Selatan dalam liga menyaksikan pasukan itu memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Merah Kuning yang menduduki tempat kedua liga.
Bergson da Silva menyumbat dua gol sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini.
Beliau sudah menjaringkan 16 gol sambil diekori Paulo Josue (10 gol) dan Ronnie Fernandez (lapan gol). Satu lagi gol JDT disumbang penyerang kebangsaan, Romel Morales.
Kemenangan ini dilihat reaksi terbaik buat anak buah Hector Bidoglio. Ini selepas pasukan itu mengalami kekalahan pertama musim 2024/25 apabila tewas 3-1 kepada Gwangju FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Kemenangan ini juga bakal memberi tonik semangat buat Harimau Selatan untuk mengharungi dua aksi seterusnya.
Selepas bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk aksi menentang Negeri Sembilan FC pada 1 November, JDT bakal melayan kunjungan Ulsan HD pada 5 November ini.
Aksi ACLE kali ini cukup istimewa buat jurulatih Ulsan, Kim Pan-gon. Ini kerana ini kali pertama bekas pengendali Harimau Malaya itu kembali ke Malaysia selepas meletak jawatan pada Julai lalu.
Dengan Ulsan kini di kelompok tercorot Liga Timur ACLE, juara K-League 1 musim 2023 itu sudah pasti mahu mendapatkan kemenangan di gelanggang keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).