Aksi Liga Super 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Abdul Rahman Paroi.
Skuad Jang kembali bangkit dan mengutip tiga mata berharga apabila berjaya menewaskan Skuad Peteh dengan keputusan 2-1.
Babak separuh masa pertama bermula dengan peluang terbaik hadir seawal minit pertama permainan buat pasukan pelawat menerusi Liridon Krasniqi. Bagaimanapun Liridon gagal memanfaatkan peluang tersebut kepada jaringan.
Terengganu sekali lagi hadir menerusi penyerang sensasi Terengganu, Adisak Kraisorn. Bagaimanapun ketangkasan penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel menidakkan hasrat Terengganu untuk memecah kebuntuan.
Pada minit ke-28 permainan, pemain import Negeri Sembilan, Levy Madinda akhirnya hadir membuka tirai jaringan. Lorongan cantik daripada Herold Goulon dimanfaatkan Levy dengan satu tapping mudah sekaligus menewaskan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli.
Sebelum aksi separuh masa pertama tamat, Terengganu berjaya meledak menerusi penyerang import dari Thailand, Adisak Kraisorn. Jaringan Adisak memastikan Terengganu mengikat Negeri Sembilan pada babak pertama perlawanan dengan keputusan 1-1.
Separuh masa kedua bermula dengan banyak serangan terus dihalakan ke kubu pasukan tuan rumah. Kedua-dua pasukan saling mencipta peluang namun Terengganu dilihat lebih ghairah untuk meledak apabila banyak counter atttack yang dilancarkan namun masih gagal menemui hasil.
Skuad Jang akhirnya menghadirkan kegembiran buat penyokong Hobin Jang Hobin dengan jaringan kemenangan. Percaturan K. Devan dengan membawa masuk Shahrel Fikri dan Tommy Mawat jelas membuahkan hasil.
Dua pemain yang masuk ini terus memberi impak segera buat pasukan. Pada minit ke-67 permainan, kehadiran Shahrel dan Tommy Mawat menjadi pelengkap buat Casagrande untuk meledak. Jaringan Casagrande memastikan Negeri Sembilan kembali mendahului perlawanan.
Sebelum wisel penamat ditiupkan, Shahrel Fikri berjaya melepaskan satu rembatan kencang ke kubu Terengganu. Malangnya palang menjadi penghalang buat Shahrel Fikri untuk mencatat nama sebagai penjaring.
Tujuh minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Negeri Sembilan berjaya mengatasi Terengganu dengan keputusan 2-1.
Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan mencatat kemenangan pertama untuk musim ini. Aksi seterusnya menyaksikan skuad kendalian K Devan bakal berdepan Kelantan pada 1 April manakala pasukan Terengganu akan bertemu Kelantan United pada 31 Mac kelak.