Liga Super: Penalti Saat Akhir Kuching City Ranap Impian Kedah
MakanBola
Kuching City FC
Sponsors

Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mencipta kemenangan di laman sendiri tidak menjadi kenyataan apabila diikat Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dengan Kedah meletakkan duo penyerang iaitu Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah manakala Jordan Mintah menjadi harapan Kuching City di bahagian serangan.

Ad

Perlawanan dimulakan dengan kawalan bola lebih memihak pasukan Kedah dan ianya memaksa Kuching lebih bertahan bagi mengekang asakan Kedah.

Ad

Habib Haroon mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kedah di hadapan pada minit ke-15 namun percubaannya tersasar.

Kuching City juga mempunyai peluang untuk mencetak gol apabila Nur Shamie Iszuan melakukan percubaan pada minit ke-27 namun ianya berjaya dihalang pertahanan Kedah, Ariff Farhan.

Ad

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.

Ad

Bersambung babak kedua, Kedah menggandakan asakan bagi mendapatkan gol pendahuluan di hadapan lebih 4000 penyokong sendiri.

Ad

Hasil tekanan ke kubu Kuching City, Kedah akhirnya berjaya di hadapan melalui penyudah Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-59 selepas pemain itu menanduk kemas hantaran lolos rakan sepasukan. Kedah di hadapan 1-0.

Ketinggalan satu jaringan, Kuching City mula melakukan pertukaran penting dengan membawa masuk penyerang berbisa, Tchetche Kipre.

Ternyata percaturan Aidil Sharin membawa masuk Kipre membawa tuah apabila Kuching City dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan selepas Irfan Zakaria mengasari Kipre di dalam kotak penalti.

Jordan Mintah yang ditugaskan mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah untuk meledak jaringan penyamaan buat Kuching City. Kedudukan terikat 1-1.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan menyaksikan 1 mata dikongsi bersama kedua-dua pasukan.

Untuk aksi berikutnya, Kedah akan bertemu JDT untuk separuh akhir kedua Piala FA yang dijadualkan pada 4 Ogos depan manakala Kuching City akan bertemu Perak pada 30 Julai di Stadium Negeri Perak.