Advertisement
Liga Super: Terengganu Jadi Santapan Moreh Selangor
Dunia
MakanBola
Selangor FC

Aksi Liga Super 2023 diteruskan membabitkan pertembungan antara pasukan Selangor dan Terengganu. Perlawanan kesembilangan musim ini menyaksikan Gergasi Merah melayan kunjungan Skuad Peteh di Stadium MBPJ.

Selangor turun dengan sedikit kelainan apabila menurunkan Ruventhiran, Mukhairi Ajmal, Noor Rawabdeh dalam kesebelasan utama pasukan sementara Terengganu merehatkan penyerang berbisa, Ivan Mamut di bangku simpanan dan memasukkan Hakimi Abdullah untuk digandingkan bersama Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn.

Babak separuh masa pertama bermula dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Selangor tampak lebih yakin mendominasi bahagian tengah padang menerusi Brendan Gan, Alexander Agyarkwa dan Noor Rawabdeh.

Peluang terhidang buat Terengganu pada minit ke-11 permainan menerusi sepakan percuma yang diberikan pengadil. Sepakan percuma yang diambil Jordan Mintah malangnya terkena palang.

Pada minit ke-16 permainan, penyerang import Selangor, Ayron Del Valle membuka tirai jaringan di Kelana Jaya. Beliau melepaskan satu rembatan cantik ke penjuru gawang untuk jaringan pertama perlawanan.

Selang empat minit selepas itu, giliran Faisal Halim mencatat nama sebagai penjaring. Bola muntah daripada tangkapan Rahadiazli dimanfaatkan Faisal dengan percubaan terus menggegar jaring.

Pertahanan tengah Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar menambah duka buat pasukan pelawat pada minit ke-40 permainan. Beliau menanduk masuk bola ketika menerima hantaran sepakan percuma daripada Mukhairi Ajmal.

Separuh masa pertamat tamat, Selangor 3-0 Terengganu.

Separuh masa kedua bermula dengan beberapa pertukaran dilakukan Tan Cheng Hoe dengan membawa masuk Fazly Mazlan dan Yohandry Orozco bagi menggantikan Ruventhiran dan Alexandre Agyarkwa.

Pada minit ke-61 permainan, kemasukan pemain gantian Terengganu, Ivan Mamut dan Syafik Ismail terus membuahkan hasil. Ivan Mamut memecah kebuntuan Terengganu dengan satu tandukan hasil hantaran daripada Syafik Ismail untuk gol pertama Skuad Peteh.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ayron Del Valle menambah derita buat anak buah Tomislav Steinbruckner apabila beliau meledak jaringan keempat buat Selangor. Import berusia 34 tahun itu menyempurnakan hantaran jauh daripada Noor al-Rawabdeh.

Pada minit ke-84 permainan, Aliff Haiqal melengkapkan malam gemilang buat Selangor. Beliau menewaskan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli dengan satu tapping mudah untuk gol kelima Selangor.

Lima minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Selangor 5-1 Terengganu. Kemenangan malam ini merupakan kemenagan ketujuh buat Selangor dalam saingan liga sementara Terengganu mencatat kekalahan keempat.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Selangor bakal berdepan pasukan Sabah pada 17 April kelak dan Terengganu bakal berentap menentang Sri Pahang pada Rabu, 26 April 2023.