Pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perubahan venue bagi perlawanan Liga Super 2025–2026 melibatkan Kelantan The Real Warriors FC vs Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada 10 Mei 2026.
Menurut kenyataan rasmi, perlawanan tersebut yang asalnya dijadualkan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV kini bakal dipindahkan ke gelanggang JDT, Stadium Sultan Ibrahim atas beberapa faktor.
Perubahan venue ini dibuat selepas permohonan daripada Kelantan TRW FC dan telah mendapat persetujuan pihak JDT, susulan faktor cuaca tidak menentu di Kota Bharu yang menjejaskan keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Selain itu, jadual padat penggunaan venue turut menjadi antara pertimbangan utama apabila stadium berkenaan dijadualkan menjadi tuan rumah kepada beberapa aksi lain dalam tempoh yang singkat, termasuk perlawanan Liga A1 Semi-Pro pada 8 Mei serta aksi Piala Belia pada 9 Mei.
Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan padang untuk digunakan dalam aksi berprofil tinggi Liga Super, sekali gus mendorong keputusan untuk memindahkan aksi Kelantan TRW vs JDT ke venue alternatif.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan kualiti perlawanan kekal berada pada tahap terbaik selain mengutamakan faktor keselamatan serta keselesaan pemain kedua-dua pasukan.