Legenda Argentina, Lionel Messi menafikan sekeras-kerasnya persepsi negara itu mendapat layanan istimewa daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tanggapan tersebut timbul selepas banyak keputusan yang dilihat memihak Argentina di Piala Dunia dari peringkat kumpulan sehingga peringkat separuh akhir menentang England.
Ini termasuk kekasaran yang dibuat Messi terhadap pemain England, Djed Spence sebelum Lautaro Martinez menjaringkan gol kemenangan.
Apabila diminta mengulas tentang dakwaan tersebut, legenda Barcelona itu menegaskan perkara itu tidak berlaku. Malah, beliau melihat Argentina berjuang habis-habisan untuk sampai ke final.
“Ini membuktikan bahawa apa yang kami lakukan bukan kebetulan dan tiada siapa yang memberi kami apa-apa,” katanya seperti dipetik Daily Express.
“Melalui dua perlawanan akhir Piala Dunia ialah satu pencapaian hanya boleh dilakukan segelintir orang dan kumpulan ini berjaya. Biarkan orang ramai terus menikmatinya.
“Apa yang telah dicapai oleh kumpulan ini adalah luar biasa – satu lagi perlawanan akhir. Kami telah kembali menjadi juara dunia, kami yang terbaik di dunia selepas empat tahun ini sama ada orang suka atau tidak, dan tidak peduli dengan apa yang mereka katakan.”
Argentina bakal bertemu Sepanyol di peringkat akhir. Sepanyol mara dengan menyingkirkan juara edisi 2018, Perancis dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Meskipun begitu, La Albiceleste berdepan kemungkinan dihukum FIFA susulan sepanduk Kepulauan Falklands yang ditunjukkan selepas perlawanan menentang England.