Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni yakin Argentina menang secara adil pada aksi separuh akhir menentang England, awal pagi Khamis.
Juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan dramatik 2-1 sekali gus menempah tiket ke pentas akhir kejohanan buat kali kedua berturut-turut.
Beliau melihat bahawa pasukannya dapat memperagakan aksi terbaik tatkala berdepan tekanan terutamanya ketika ketinggalan.
“Pasukan ini sentiasa bermain lebih baik apabila berada dalam situasi tertekan.
“Jika bola itu tidak masuk, kami pasti tewas 1-0 walaupun mencipta tujuh peluang menjaringkan gol. Kami terus menekan sehingga wisel penamat.
“Kami menyangka aksi menentang Mesir adalah prestasi terbaik kami, tetapi perlawanan ini ternyata mengatasinya,” katanya pada sesi sidang media pasca perlawanan, pagi tadi.
Scaloni turut yakin pasukannya tahu cara untuk menghadapi situasi mencabar di Piala Dunia dan lega berjaya melangkah ke pentas akhir, sekali lagi.
“Kejayaan kami bukan semata-mata diukur melalui kemenangan atau kekalahan. Yang paling penting ialah bagaimana kami menghadapi setiap situasi.
“Saya harap orang ramai mempunyai pandangan yang baik terhadap saya, tetapi sejujurnya perkara itu tidak terlalu merisaukan saya. Ia bukan sesuatu yang mendorong saya,” tambahnya.
Scaloni melihat bahawa kemenangan Argentina adalah amat wajar berdasarkan persembahan yang ditampilkan.
“Saya fikir kami memang layak muncul sebagai pemenang.
“Kami sudah bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang menanti selepas ini,” ujarnya.