Advertisement
Mac Allister: Sepupu Saya Beraksi Di Malaysia
Liga Super
MakanBola
Liverpool FC/Perak FC

Perancang tengah Liverpool FC, Alexis Mac Allister berkongsi perjalanan keluarga termasuklah sepupunya yang beraksi di Malaysia.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan tunjang utama bahagian tengah The Reds untuk membantu pasukan mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Beliau dalam satu sesi audio siar bersama lagenda England, Gary Lineker memaklumkan bahawa keluarga besarnya amat aktif dalam bidang bola sepak.

“Bagi kami, bola sepak adalah segalanya. Anda tahu bapa saya bermain bola sepak dengan Diego Maradona, orang yang amat bertuah. Bapa dan bapa saudara saya bermain bola sepak.

“Abang-abang saya, Francis dan Kevin juga bermain bola sepak, seorang bermain di Belgium dengan seorang lagi bermain di Argentina. Jadi, ada empat pemain bola sepak (dalam keluarga saya).

Perkongsian mengejutkan apabila beliau turut menyebut berkenaan sepupunya iaitu kapten Perak FC yang kini sudah mula menjadi aset utama bahagian tengah The Bos Gaurus.

“Kemudian, sepupu saya (Luciano Guaycochea) bermain di Malaysia sekarang. Sudah tentu datuk saya bermain bola sepak tetapi tidak secara profesional. Ya, bola sepak cukup bermakna buat kami dan itulah sebab kami bermain dan menikmatinya,” katanya pada sesi audio siar The Rest Is Football.

Luciano telah beraksi sebanyak 12 perlawanan Liga Super di bawah kendalian Yusri Che Lah dan berjaya merekodkan 8 jaringan dengan purata penilaian setiap perlawanan adalah 8.03 mata.

Beliau bagaimanapun terpaksa disisihkan buat seketika akibat ditimpa kecederaan dan membantu Perak untuk menghuni tangga ke-6 Liga Super ketika ini.