Keprihatinan penyokong Perak yang mendoakan negeri Kelantan membuatkan para peminat tersentuh.
Perak dan Kelantan bertemu bagi perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Manjung dengan tuan rumah memiliki kelebihan agregat 3-0 ke atas pihak lawan.
Di sebalik kemeriahan aksi tersebut, tumpuan para penonton terarah kepada tindakan penyokong Perak yang mendoakan negeri Kelantan yang ketika ini sedang diuji dengan musibah banjir besar.
Pihak kelab Kelantan Darul Naim turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan para penyokong tuan rumah yang cakna dan sudi mendoakan kesejahteraan buat negeri Pantai Timur itu.
”Terima kasih buat semua penyokong Perak Football Club atas keprihatinan anda dengan situasi banjir di Kelantan,” ujar pihak kelab dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu difahamkan juga terdapat kutipan derma yang disalurkan oleh para peminat di stadium bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkesan dengan ujian banjir ini.
“Dimaklumkan juga ada kutipan dilakukan penyokong di Stadium Manjung untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. Terima kasih Perak.”
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan peminat Kelantan memuji tindakan murni penyokong The Bos Gaurus malah berterima kasih atas doa dan sumbangan yang diberikan.
“Sejuk hati walaupun Kelantan kalah, terima kasih penyokong Perak. Anda memang terbaik,” tulis salah seorang peminat Kelantan, Mahazam Zam.
“Ini barulah bola sepak, kalau tidak asyik bergaduh sahaja,” kata Mark East Sie.
”Terima kasih penyokong Perak. Tabik hormat dan salam dari Pantai Timur, Kelantan,” ujar Danial Roslan di ruangan komen.
Pada aksi tersebut, Perak berjaya menewaskan Kelantan DN 3-1 hasil jaringan Clayton Da Silveira, Wan Zack dan Ariff Ar-Rasyid manakala Adam Danial memberikan gol saguhati buat pelawat.
Kemenangan ini mengesahkan tempat Perak peringkat suku akhir dengan agregat 6-1 dan bakal menempah pertemuan menentang pemenang di antara Sri Pahang dan Selangor