Selepas menyertai Negeri Sembilan musim ini susulan pembubaran PJ City, Mahali Jasuli dilihat tidak kekok mengisi slot bek kanan atau penyerang pasukan. Tetapi walaupun mendapat tawaran beberapa pasukan lain pada akhir musim lepas, Negeri Sembilan tetap dipilihnya atas sebab jurulatih K. Devan.
Bekas bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendedahkan Devan mengintai khidmatnya seawal September atau Oktober tahun lepas. Malah, beliau turut menerangkan perancangannya untuk musim 2023 sekiranya Mahali bersetuju menyertai Negeri Sembilan.
Ini membuatkan bekas pemain Selangor itu bersetuju menyertai Hoben Jang Hoben walaupun mendapat tawaran dari beberapa pasukan lain pada akhir musim lepas.
Selain itu, Mahali juga mempunyai keinginan beraksi di bawah kendalian Devan. Ini kerana sebelum ini, Devan pernah melatihnya di PJ City sekaligus sudah cukup untuknya mengatakan ya kepada Negeri Sembilan.
“Pertama sekali, saya sudah mula mendapat tawaran seawal bulan 9 atau bulan 10 dari Coach Devan sendiri. Coach Devan telah beritahu pelan dia untuk 2023. Dan dengan apa yang coach terangkan kepada saya, memang terujalah untuk bermain bersama Negeri Sembilan.
“Seterusnya beraksi di bawah Coach Devan sebab sebelum ini, saya pernah beraksi di bawah Coach Devan. Jadi, saya rasa ini masa terbaik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Dengan pasukan menduduki kedudukan empat teratas Liga Super musim lepas, Mahali mahu membantu Negeri Sembilan melakar pencapaian lebih baik musim ini.
“Jadi, sememangnya saya mahukan keputusan yang lebih baik untuk pasukan Negeri Sembilan. Saya nak bantu pasukan ini capai target pasukan dalam Liga Super. Kita pun tahu ada Piala FA dan Piala Malaysia, jadi saya ingin membantu pasukan capai target pasukan,” tambahnya.