Satu lagi insiden tak diingini berlaku dalam perlawanan bola sepak apabila salah seorang pemain menumbuk muka pihak lawan.
Saingan Arena Champion League dikejutkan dengan insiden panas bilamana salah seorang pemain pasukan Budiman FC dikesan telah menumbuk muka pemain Amna FC dalam aksi separuh akhir.
Kejadian tersebut berlaku pada minit ke-56 permainan ketika pemain Amna FC berjersi nombor 10 berjaya merampas bola dari kawalan pemain Budiman yang menyarung jersi nombor 23.
Selepas itu, pemain Amna FC tersebut berusaha melarikan bola dan membawanya ke garisan tepi sebelum ditumbuk oleh pemain Budiman yang berusaha mengejar dari arah belakang.
Oleh itu, situasi menjadi sedikit tegang apabila para pemain Amna FC dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan ganas oleh pihak lawan tersebut termasuk yang berada di bangku simpanan.
Pengadil dengan tegas melayangkan kad merah buat pemain Budiman dengan jersi nombor 23 tersebut dalam usaha bagi menenangkan keadaan dan mengelakkan situasi lebih teruk berlaku.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-2 buat Amna FC ke atas Budiman FC, sekaligus mara ke final berdepan Ozzy FC yang menewaskan Pantherz FC dalam satu lagi aksi.
Difahamkan juga, insiden kekecohan di atas padang seperti ini bukanlah kali pertama melibatkan Budiman FC ini apabila salah seorang pengguna laman X, rvzlee juga mendedahkan masalah sama berlaku sebelum ini.