Skuad wanita Malaysia kecewa selepas tewas kepada skuad wanita Lubnan dalam aksi separuh akhir Women’s International Friendly 2023 semalam.
Walaupun berjaya layak ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A, ketumpulan jentera serangan perlu diatasi sekiranya Malayan Tigress ingin layak ke final.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu menghasilkan gol. Beberapa peluang terhidang yang gagal dimanfaatkan memastikan keputusan perlawanan kekal tanpa jaringan sehingga rehat.
Keadaan ini tidak dibantu dengan corak permainan keras yang diamalkan Lubnan sekaligus menjejaskan kelancaran permainan anak-anak buah Soleen Al-Zoubi.
Bersambung pada babak kedua, Lubnan lebih banyak mengasak kubu pertahanan Malayan Tigress yang dikawal penjaga gol ShF Presingu, Nurul Azurin Mazlan.
Begitupun, jentera serangan mereka yang tumpul menyaksikan kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.
Dan walaupun perlawanan diheret ke masa tambahan selama 30 minit, kedua-dua pasukan masih buntu mencari gol kemenangan. Ini memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Intan Serah Anisah Zulgafli bernasib malang apabila sepakan penalti yang diambilnya terkena palang gol Lubnan. Dan itu sudah cukup membantu pasukan Asia Barat berkenaan menewaskan Malayan Tigress 4-3 untuk mara ke final.
Kini, skuad negara perlu bangkit daripada kekecewaan ini dan memastikan pencapaian tempat ketiga dalam kejohanan menerusi aksi penentuan tempat ketiga pada 30 September.