Kem badminton Malaysia ceria apabila dua wakil negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Pearly Tan-M. Thinaah muncul juara Hong Kong Open.
Wei Chong dan Kai Wun menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia dalam acara beregu lelaki sejak tahun 1999. Beregu nombor sembilan dunia itu menewaskan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin di pentas final.
Meskipun berdepan tentangan beregu ke-18 dunia itu, Wei Chong-Kai Wun tidak berdepan masalah meraih kemenangan. Juara French Open itu menang dengan keputusan 21-19, 21-18.
Kemenangan ini menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mengikut jejak jaguh beregu negara, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock. Soon Kit-Kim Hock muncul juara edisi 1999.
Rentak cemerlang kem badminton negara diteruskan Pearly-Thinaah. Beregu wanita nombor satu Malaysia itu muncul juara dengan mengalahkan wakil Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi.
Pearly-Thinaah memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 22-20, 21-16 . Keputusan ini bukan saja menyaksikan beregu wanita nombor empat dunia itu menebus kekalahan di tangan lawan sama di pentas final Taipei Open.
Malah, Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian bergelar juara selepas melakukannya pada edisi 2024. Kedua-dua regu masing-masing menerima hadiah kemenangan berjumlah AS$39,500 (RM162,469).

